Dengan Nama-Nya

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, dapatlah saya menghasilkan blog Bestnya Matematik! ini sebagai kerja kursus subjek KPT 4033: Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan bagi kursus Diploma Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pensyarah saya, Encik Salman Firdaus dan Dr. Zamzuri yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan sepanjang kami berkampung di KPTM Bangi pada Disember 2011.

Sebesar-besar penghargaan buat kakak angkat saya, Fauziah Salleh dan anakandanya Mohd Faiz yang telah banyak memberi sokongan moral untuk saya agar menghabiskan kursus Diploma Pendidikan ini dengan jaya dan cemerlang. Jasa dan budi baik kalian sekeluarga tidak akan padam dari ingatan, hanya Allah jua yang mampu mengganjarkan anugerah dari sisi-Nya.

Dan khusus buat anakanda kesayangan saya, Muhammad Al-Fateh, Muhammad Al-Auzaie, Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Asy-Syazili - Ummi sayang kamu semua. Terima kasih kerana demikian sabar dan baiknya menghadapi hari-hari tanpa Ummi sepanjang Ummi belajar.

Selain itu, saya juga ingin melafazkan ribuan penghargaan buat rakan-rakan Diploma Pendidikan (ramai sangat kalau nak sebut semua..hehe) dan rakan-rakan Jabatan Matematik MRSM Kota Putra.

Last but not least, terima kasih buat Ma Ayah kerana telah bersusah payah membesarkan, mengasuh dan mendidik lalu tidak putus-putus mendoakan anakandamu ini. Semoga jasa bakti kalian dibalas Allah dengan sebaik-baik ganjaran.

Sejujurnya, proses menghasilkan blog ini  telah membuka lembaran baru bagi saya untuk menyebarkan ilmu dan maklumat amnya, Matematik khususnya. Sudah lama saya bercita-cita ingin menghasilkan nota maya Matematik bagi membantu para pelajar yang menghadapi masalah untuk memahami teknik-teknik Matematik dan Matematik Tambahan.

Dan blog ini, tidak akan menjadi prasyarat kelulusan kursus ini sahaja. Ia akan terus hidup, terus dihidupkan selagi saya masih bernafas sebagai bahan perantara penyebaran ilmu Matematik yang saya ada.

Saya mengharapkan blog ini akan menjadi pencetus semangat baru untuk saya menongkah kehidupan sebagai GURU ummah. Dan kursus Diploma Pendidikan ini akan menjadi batu loncatan untuk saya meningkatkan kemahiran pengajaran yang saya miliki serta menggilap potensi saya ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Akhir kalam, terimalah serangkap pantun dari saya..

Dua tiga pohon berdiri,
Manakan sama si pohon durian;
Sambung master, sambung PhD,
Manakan sama Diploma Pendidikan.

Sekian, wassalaam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...